Sunday, February 24, 2013

Hadiah Buat Seseorang


ASSALAMUALAIKUM....

kredit gambar: mashable.com
Coretan aku pada kali ini secara fokus nya adalahberkenaan hadiah kepada seseorang.

Apabila seseorang kenalan menyambut suatu hari yang istimewa buat dirinya, maka kita pasti akan menghadiahkan sesuatu kepada insan tersebut; samada berbentuk material atau bukan material (ucapan, doa, dan sebagainya). Antara tujuannya dihulurkan hadiah itu adalah untuk berkongsi kegembiraan bersama insan yang menyambut hari istimewa buat dirinya. 

Bagi yang menyambut hari lahir, pelbagai hadiah yang diterima seperti kad ucapan, kek, coklat, bunga, makanan kegemaran dan sebagainya.

Bagi yang baru melangsungkan pernikahan, ada yang menghadiahkan set pinggan mangkuk, album gambar, set cadar, barangan elektrik, dan bermacam-macam lagi. Supaya apabila mereka melayari bahtera rumahtangga, barangan yang dihadiahkan itu akan membantu memudahkan perjalanan hidup mereka. 

Begitu juga bagi yang bergelar guru (macam aku). Apabila tiba sambutan Hari Guru maka menimbunlah hadiah di atas meja hasil sumbangan anak-anak murid tercinta. Pen, 'frame' gambar, bunga ros, coklat, kek, dan yang seumpama dengannya. Memang bertuah jadi cikgu ni. Hehehehe...

Sama juga halnya dengan orang yang menyambut Hari Ibu, Hari Bapa, hari ulangtahun perkahwinan, dan hari-hari yang sama erti dengannya. 

Cuba tanya diri kita.

Cuba soal hati dan iman kita sedalam-dalamnya...

Pernahkah kita terfikir, adakah hadiah itu betul-betul bermanfaat untuk insan tersebut? Jika difikirkan lebih mendalam, adakah hadiah yang kita sumbangkan itu bermanfaat juga untuk diri kita; pemberi hadiah itu? Atau, untuk AKHIRAT kita?

Kadang-kadang, ada barang-barang yang dihadiahkan itu bukan sesuatu yang betul-betul diperlukan oleh insan tersebut. Maksudnya, jika kita menghadiahkan bernda tersebut, insan itu akan senyum dan gembira hanya untuk sementara sahaja. Dan barang yang kita hadiahkan itu langsung tidak bermanfaat dan tidak digunakan langsung.

Seelok-eloknya, aku berpesan kepada diri aku sendiri dan sahabat-sahabat semua, apabila kita menghadiahkan sesuatu kepada sesiapa jua, biarlah ia sesuatu yang bermanfaat bukan sahaja kepada mereka, bahkan juga kepada diri kita; si pemberi hadiah.

Antara contoh hadiah yang paling bernilai dan bermanfaat daripada kita kepada insan lain adalah DOA. Sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam:
“Doa seorang saudara kepada saudaranya yang lain (sedangkan saudaranya itu tidak mengetahui doa tersebut) adalah doa yang pasti diperkenankan, di sisinya terdapat malaikat yang ditugaskan di mana setiap kali ia mendoakan kebaikan atau keselamatan untuk saudaranya, malaikat yang ditugaskan itu berkata: Amin dan bagimu seperti itu juga”. (Hadis riwayat Muslim).

Contoh lain, kita hadiahkan mereka bahan-bahan ilmiah seperti buku-buku agama, cakera padat (CD) kuliah agama, dan sebagainya. Dengannya, apabila mereka membaca atau mendengar bahan-bahan tersebut mereka akan beroleh ilmu dan pahala. Dan pahala tersebut akan terpercik juga kepada kita yang menghadiahkan bahan tersebut.

Contoh yang berikutnya, kita hadiahkan mereka periuk belanga atau alatan memasak. Mungkin nampak kolot; mungkin. Dengannya, apabila si isteri memasak dengan penuh ikhlas dan kasih sayang kepada si suami, maka mereka akan beroleh mahabbah dan pahala daripada Allah. Dan, mahabbah dan pahala itu juga akan terpercik kepada kita yang menghadiahkan barang-barang tersebut.

Jadi, selepas ini apabila kita menghadiahkan sesuatu kepada seseorang, biarlah hadiah tersebut memberi manfaat kepada orang tersebut dan juga kepada diri kita. Dan yang lebih penting, bermanfaat untuk akhirat kita semua. Wallahu a'alam.


Comments
1 Comments

1 comment: